Pekin Jadi ‘Wanita’ Dalam Filem Mengundang Kutukan Netizen

pekin jadi ‘wanita’

Transformasi Pekin Ibrahim menjadi ‘wanita’ sebagai teraju utama filem Coverina karya Khalid Nazri mengundang pelbagai reaksi pelbagai pihak.Namun jejaka berusia 34 tahun itu mencabar diri untuk keluar dari ‘zon selesa’ sebagai pelakon serta melihat dirinya dari sudut yang berbeza.

“Saya sebenarnya adalah seorang yang pemalu, namun tawaran ini diterima sebagai salah satu cara untuk saya mencabar diri saya namun ia tetap mengikut kemampuan diri juga.

“Ada yang mengatakan berdosa kerana menyerupai wanita, namun kita tahu niat atas dasar kerja. Saya berjuang dalam wadah kesenian,” kata Pekin ketika ditemui pada sesi fotografi bersama BH Online di Balai Berita Bangsar.

Beliau berkata dia turut mendapat semangat yang berbeza dengan berpakaian seperti wanita, sekali gus mengatasi perasaan malu dalam dirinya.

PEKIN Ibrahim disolek menyerupai wanita untuk filem terbarunya. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Malah beliau juga turun padang dengan membeli pakaian serta pakaian dalam wanita khusus untuk menjayakan watak Kamalia yang dipegangnya menerusi filem berkenaan.

“Pernah sekali saya ke Alamanda dengan pakaian wanita disebabkan tempoh waktu makan tengah hari yang agak suntuk dan saya pula malas hendak membuang mekap yang agak mengambil masa.

“Memang tak dinafikan saya dapat perhatian orang sekeliling yang pelik melihat kelibat saya berpakaian sebegitu.

“Saya juga pergi ke La Senza bagi membeli pakaian dalam wanita ditemani jurusolek artis dari produksi filem Coverina.

“Pekerja kedai memang terkejut kerana ingatkan saya mahu beli untuk teman wanita tapi saya pula nak cuba di bilik persalinan,” kata Pekin sambil tergelak.

PEKIN Ibrahim disolek menyerupai wanita untuk filem terbarunya. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Menurut beliau, jurusolek artis mengambil masa lebih 30 minit setiap hari untuk menata rias dirinya sepanjang tempoh 14 hari penggambaran. Selang tiga hari, kakinya juga akan dicukur rapi bagi memastikan dirinya sesuai untuk menggayakan baju wanita. Malah beliau juga memainkan peranan dengan mencadangkan agar dia menggayakan skirt pendek mengikut keperluan watak. Cadangan yang diusulkan Pekin itu diterima pengarah kerana ia menambahkan warna serta menyerikan lagi jalan cerita filem itu.

Filem Coverina mengisahkan mengenai Kamal (Pekin) seorang penganggur yang tersilap mengisi borang permohonan kerja sehingga dia ditemuduga untuk bekerja di sebuah syarikat permotoran milik Rina (Siti Elizad) yang juga seorang anti-lelaki akibat ditinggalkan kekasihnya pada hari pernikahan mereka.

Semuanya berubah apabila Kamal diterima bekerja di situ sebagai ‘despatch’ kerana pekerja wanita mereka telah berhenti secara tiba-tiba. Menyamar sebagai Kamalia membolehkan Kamal menyelami perasaan Rina dan bermulalah percubaan untuk memikat Rina. Pekin yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang turut menyelitkan ucapan maaf kepada ibunya di kampung agar tidak terkejut dengan penampilannya dalam filem Coverina.

Pekin menjelaskan ibunya sering menyokong kerja seninya namun sering mengingatkan kepadanya untuk menjaga nama baik keluarga.

“Sebelum dimaki dan dikritik ibu, jadi saya awal-awal lagi sudah membuat permohonan maaf menerusi suara latar dalam filem itu.

“Saya menjelaskan kepada ibu yang anak lelakinya ini masih lurus dan belum terpesong lagi,” kata Pekin dalam nada serius.

Pekin menjayakan watak sebagai teraju utama dalam filem Coverina dengan membawa dua watak iaitu Kamal dan Kamalia.

Filem yang turut membariskan Siti Elizad dan Cat Farish itu ditayangkan di pawagam mulai 19 Februari lalu.

Sumber: BH Online